Pengajaran merupakan suatu proses yang merangkumi
aktiviti-aktiviti perancangan, pelaksanaan, penilaian, dan memberi maklum
balas. Pengajaran adalah suatu proses pemindahan ilmu dari seseorang kepada
seseorang yang lain. Dalam konteks pendidikan, pengajaran lebih tertumpu kepada
guru manakala pembelajaran lebih difokuskan kepada pelajar. Keberkesanan
pengajaran akan dinilai berdasarkan sejauh mana proses pengajaran itu memenuhi
objektif yang telah ditetapkan. Oleh itu, proses pengajaran haruslah dirancang
dengan sebaik mungkin agar ia mampu mencapai matlamat dan objektif yang telah
ditetapkan.
ISI PENTING
Pertamanya, sebelum seseorang guru itu memulakan
sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran, guru seharusnya membuat persediaan
rapi sebelum mengajar. Kebiasaannya, seorang guru akan membuat persediaan dan
perancangan bagi proses penyampaian ilmu di sekolah itu sebelum tiba di sekolah
lagi. Guru akan membuat persediaan ilmu pengajaran dan isi pelajaran yang akan
diajar, persediaan bahan pengajaran, persediaan peralatan pengajaran,
persediaan ruang pengajaran dan persediaan kemahiran dalam pengajaran.
Persediaan yang mantap sebelum memulakan proses pengajaran amat penting bagi
memudahkan seseorang guru itu mencapai objektif dan tahu hala tuju sesi
pembelajaran dijalankan.
Seterusnya, pelaksanaan kajian tindakan perlu
dilakukan oleh guru-guru di sekolah di mana ia bertujuan untuk meningkatkan
keberkesanan pengajaran guru selain daripada meningkatkan prestasi pencapaian
murid. Menurut Jefferi Idris et.al (2015), bagi melaksananakn tindakan
yang telah dicadangkan, penyelidik menggunakan model Kajian Tindakan yang
digunakan oleh Kemmis dan Mc Taggart 1988. Kajian Tindakan tertumpu kepada gelung spiral di mana proses yang berlaku
adalah berterusan sehinggalah guru itu mampu membuat kesimpulan akhir terhadap
apa yang dikajinya. Proses ini dimulakan dengan tinjauan di mana guru akan
mengenal pasti apakah masalah yang cuba diselesaikan atau proses bagi
meningkatkan prestasi. Kedua ialah perancangan di mana guru merancang apakah
tindakan atau intervensi yang ingin dijalankan. Ketiga ialah pelaksanaan atau
pemerhatian yang mana beliau akan menjalankan tindakan atau intervensi yang
telah dirancang. Proses akhir adalah renungan atau refleksi di mana guru akan
menjalankan refleksi berkenaan tindakan atau intervensi yang dijalankan.
Di samping itu juga, sudah menjadi kewajipan bagi seseorang guru itu
untuk mempunyai buku rekod mengajar. Guru yang mengajar mata pelajaran akademik
diwajibkan mencacat semua aktiviti kerja mereka dalam buku rekod mengajar. Buku
ini menghimpunkan pelan tindakan guru sebelum mengajar. Buku rekod mengajar ini
sudah pastinya akan menjadi bahan bantu mengajar bagi seseorang guru itu kerana
guru akan merekodkan setiap elemen yang perlu dipenuhi semasa pelaksanaan PdP. Kesemua elemen ini harus dipenuhi oleh guru
supaya proses pengajaran dan pembelajaran itu akan dilangsungkan dengan lancar
dan baik. Seperti kebiasaanya, guru-guru akan memberi fokus kepada empat
bahagian pengajaran iaitu set induksi, penyampaian isi, penutup dan refleksi
bagi memudahkan proses pembelajaran bagi seseorang pelajar. Guru-guru akan
mengikut langkah yang ditetapkan satu per satu bagi memudahkan dan melancarkan
proses PdP.
Akhir sekali, refleksi pengajaran merupakan
sesuatu hal yang penting dalam apa jua majlis penyampaian ilmu. Refleksi akan
dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran dan setiap kekurangan dan
kelemahan dalam pengajaran akan dinilai dan dikaji semula untuk menambah baik
pengajaran yang akan datang. Refleksi akan dibuat bagi merumuskan seluruh hal
yang dipersembahkan dan sekiranya ia tidak mencapai objektif pengajaran, maka
guru akan membuat kajian tindakan. Proses ini akan berterusan sehinggalah guru
berpuas hati dan mencapai objektif dan matlamat yang ditetapkan.
RUMUSAN
Tuntasnya, setiap proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah harus dilakukan dengan sebaik mungkin agar matlamat dan
objektif yang disasarkan itu mampu dipenuhi dan dicapai. Apabila objektif itu
mampu dicapai, sudah pastinya proses pembelajaran bagi pelajar-pelajar akan
dikatakan berjaya dan cemerlang. Bagi mencapai objektif yang disasarkan itu,
maka guru-guru perlulah mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam proses
pengjaran iaitu mematuhi empat elemen penting iaitu set induksi, penyampaian
isi, penutup dan refleksi. Keempat-empat ini mampu menjadikan proses PdP lancar
dan berkesan. Guru-guru harus membuat persediaan yang rapi dan tersusun bagi
memudahkan proses penyampaian ilmu.
No comments:
Post a Comment