Pemimpin yang
baik diperlukan dalam sesuatu organisasi bagi mewujudkan organisasi yang baik
serta mempunyai orientasi visi dan misi yang kehadapan. Pimpinan dalam
organisasi adalah jabatan atau posisi seseorang dalam sebuah organisasi dan
tugasannya adalah untuk mengatur segala sesuatu mengenai kebijakan dan
keputusan dalam mengurus organisasi tersebut. Tugas pemimpin dalam sesebuah
organisasi ialah bertanggungjawab atas semua kerja organisasi yang dijalankan
manakala gaya kepimpinan akan mempengaruhi pencapaian hasil dari organisasi
dalam dunia pendidikan. Menurut George R. Terry, kepimpinan adalah kegiatan
mempengaruhi orang-orang, agar mereka suka berusaha mencapai tujuan-tujuan
kelompok. Seterusnya, organisasi pula merupakan struktur atau susunan iaitu penyusunan
dan penempatan orang-orang dalam suatu kelompok kerjasama, yang bermaksud
menempatkan orang dengan kewajiban, hak-hak dan tanggungjawab masing-masing.
Tugas dan tanggungjawab tersebut tersusun rapi pola kegiatannya agar menuju ke
arah tercapainya tujuan bersama yang telah disepakati.
Carta organisasi
sekolah bermula daripada Pengetua yang diikuti dengan Penolong Kanan
Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Kaunselor dan Penolong Kanan
Kokurikulum. Penolong Kanan Pentadbiran terbahagi kepada dua bahagian kerja
iaitu bahagian pentadbiran dan bahagian kurikulum. Bahagian kurikulum pula
terbahagi kepada dua iaitu Guru Kanan Matapelajaran yang diketuai oleh Ketua
Panitia bagi setiap matapelajaran dan pusat sumber. Seterusnya bagi Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid harus mengendalikan empat kerja iaitu dari segi disiplin,
pendaftaran pelajar, kantin dan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Kaunselor pula merupakan satu badan yang agak
penting bagi membentuk dan membantu dalam membaiki dari segi sahsiah pelajar,
tugasnya adalah bimbingan dan kerjaya.
Akhir sekali, Penolong Kanan Kokurikulum yang ditugaskan untuk
mengendalikan dua bahagian iaitu bahagian sukan dan bahagian kelab. Sukan
terbahagi kepada dua iaitu rumah sukan dan olahraga ataupun dikenali sebagai
permainan. Bahagian kelab juga mempunyai dua bahagian iaitu persatuan dan unit
beruniform.
Peranan setiap
Pengetua sekolah adalah memimpin organisasi ke arah pencapaian visi dan misi
sekolah. Mempunyai wawasan yang mengujakan dan jelas serta berupaya mengembleng
warga sekolah perlu ada dalam ciri-ciri setiap pengetua sekolah. Golongan ini
perlu mentadbir dan mengurus sekolah serta tugas lain yang perlu dikendalikan
dilaksanakan dengan berkesan dan cekap, misalnya perkara-perkara yang telah
ditentukan oleh pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan (KPM).
Seseorang pengetua bertanggungjawab dalam meningkatkan Kurikulum dan
Kokurikulum serta memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar KPM. Malah
seorang Pengetua juga bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan, pentadbiran
dan kewangan sekolah serta mewujudkan hubungan dua hala dengan komuniti dan
agensi-agensi luar. Dalam kata lain, seorang Pengetua harus memainkan peranan
dari setiap sudut dan dianggap ‘kepala’ yang penting dalam organisasi sekolah
ini. Jelaslah bahawa peranan Pengetua sebagai pemimpin dalam organisasi sekolah
ini adalah amat penting bagi mewujudkan sekolah yang berwawasan dan mempunyai
hala tuju yang jelas.
Seterusnya,
bidang tugas Penolong Kanan pula ialah menjalankan tugas pengetua semasa
ketiadaannya. Sebagai contoh, setelah bersaranya seorang Pengetua, setiap
Penolong Kanan perlu mengambil alih buat seketika sementara menunggu Pengetua
baru datang ke sekolah tersebut. Tugas ini bertujuan agar sekolah tersebut
dapat dikawal jika berlaku sebarang masalah semasa ketiadaan Pengetua. Penolong
Kanan bertanggungjawab kepada Pengetua dalam hal kurikulum, pentadbiran,
hubungan masyarakat dan keselamatan. Malah golongan ini juga bertangggungjawab
dalam membantu Pengetua dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah serta
menyelia dan menilai proses pengajaran. Manakala bagi tugas Kaunselor pula
adalah menolong pelajar untuk memahami dirinya dalam hubungannya dengan dunia
sosial dan psikologi di tempat pelajar berada, contohnya memahami sikap,
mencungkil minat, bakat dan kebolehan masing-masing dan juga membantu dalam
penyempurnaan kendiri. Jelaslah bahawa peranan Penolong Kanan dan Kaunselor
mempunyai kepentingan tersendiri bagi menyempurnakan sesebuah organisasi dan
mencapai matlamat setiap sekolah.
Antara struktur
Jawatankuasa Panitia Mata Pelajaran ialah Pengerusi iaitu Guru Kanan Mata
Pelajaran diikuti dengan Naib Pengerusi iaitu Ketua Panitia, seterusnya,
setiausaha dan ahli yang terdiri dari semua guru mata pelajaran. Guru Kanan
Mata Pelajaran, Pengerusi, merupakan ketua bidang mata pelajaran dan
lantikannya adalah oleh Jabatan
Pelajaran Negeri kerana ia melibatkan elaun khas Guru Kanan. Peranan
golongan ini adalah untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan,
merupakan penyelaras panitia bidang mata pelajarannya, mentadbir dan mengurus
kurikulum bidang mata pelajarannya, pengurus stor dan inventori bidang mata
pelajarannya dan juga memastikan kemajuan staf akademik dan bukan akademik
dalam bidang mata pelajarannya. Antara agihan mata pelajaran mengikut bidang
terdiri daripada empat bidang iaitu Bahasa, Sains dan Matematik, Teknik dan
Vokasional dan akhir sekali bidang Kemanusiaan. Bidang Bahasa terdiri daripada
bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina, Tamil dan lain-lain. Sains dan Matematik
pula Sains teras, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik, Matematik Tambahan dan
sebagianya. Manakala Teknik dan Vokasional, Kemahiran Hidup Bersepadu, Ekonomi
Rumah Tangga, Perdagangan, Prinsip Akaun dan lain-lain. Akhir sekali bidang
Kemanusiaan Sivik, Geografi, Kesusasteraan dan sebagainya.
Natijahnya,
kepimpinan merupakan sesuatu yang amat penting dalam sebuah organisasi kerana
kepimpinan dapat menjadi pemancu prestasi dalam organisasi tersebut. Setiap
peranan yang diberikan kepada guru-guru merupakan sesuatu yang mencabar namun
itulah komitmen yang diperlukan oleh setiap organisasi bagi mencapai visi dan
misi tersendiri melalui kesepakatan bersama. Tanpa kepimpinan yang baik, sudah
pasti generasi yang akan datang tidak dapat dibentuk dengan baik.
Kepimpinan Peringkat Sekolah.
Di sekolah,
kepimpinan adalah satu aspek tingkahlaku dan juga sejenis pengaruh. Seseorang
Pengetua yang memegang teraju di peringkat sekolah memerlukan pengatahuan dan
pengalaman yang banyak dan tinggi mengenai pendidikan. Sebagai contoh pengetahuan
dalam bidang akademik, latar belakang murid dan masyarakat, pengurusan pejabat,
konsep kepimpinan, masalah politik, dan masalah tingkah laku pelajar dan
kakitangan. Oleh itu, pentingnya cara kepimpinan Pengetua yang produktif dan
baik dalam mengendalikan sesebuah organisasi yang besar seperti sekolah ini.
Kepimpinan peringkat sekolah terbahagi kepada empat, iaitu autokratik,
demokratik, laissez-faire dan kontigensi.
Autokratik
merupakan hubungan sehala iaitu pemimpin dan dipimpin. Antara cirinya ialah arahan
dari Pengetua dan guru-guru mengikuti arahan beliau tanpa soal. Pancangan
Pengetua perlu dilaksanakan dan Pengetua yang mengamalkan autokratik ini
menjalankan kawalan yang ketat dan kurang mempercayai orang lain. Dengan cara
ini akan menyukarkan penambahbaikan dilakukan kerana hanya ideanya sehaja yang
diguna pakai dan tidak menerima pandangan guru-guru lain kerana jenis
kepimpinan autokratik ini tidak menggalakkan percambahan minda. Sekolah jenis
autokratik ini memperlihatkan satu bentuk kuasa yang mutlak dan pembuatan
keputusan adalah terpusat. Setiap keputusan yang dikeluarkan guru-guru terpaksa
menerimanya kerana ia bersifat diktator.
Seterusnya,
demokratik merupakan jenis kepimpinan yang lebih liberal. Di mana Pengetua akan
berbincang terlebih dahulu dengan para guru, melalui cara ini Pengetua akan
menerima dan memberi pandangan beliau terhadap perkara yang dibincangkan. Dan
keputusannya adalah atas dasar persetujuan majoriti. Kepimpinan demokratik ini
amatlah digalakkan diguna pakai oleh setiap organisasi kerana ianya
menggalakkan percambahan minda serta dapat menerima pandangan dari guru-guru
lain. Cara ini mampu memulihkan sesuatu masalah dengan baik kerana setiap guru
mempunyai idea dan cadangan masing-masing. Melalui perkongsian idea ni, Pengetua
mampu memilih cara yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang
dihadapi. Pandangan guru yang diberikan diambil perhatian oleh pihak pengurusan
sekolah. Jelaslah, jenis kepimpinan demokratik ini merupakan cara kepimpinan
yang terbaik untuk diterapkan di dalam sesebuah organisasi dan Pengetua
merupakan individu yang seharusnya memainkan peranan kepimpinan ini.
Laissez-faire
merupakan jenis kepimpinan yang bertentangan dengan autokratik. Kepimpinan ini
memberi kebebasan, kurang unsur-unsur kawalan dan kurang memberi pandangan.
Malah, golongan ini juga kurang mengambil bahagian dalam pelaksanaan aktiviti.
Pengetua yang mengamalkan kepimpinan laissez-faire ini, menunjukkan bahawa
beliau hanya akan memberi komen terhadap aktiviti yang dilakukan oleh orang
bawahan tanpa menilai dan menyusun atur. Dan kebiasaannya, golongan ini tidak
peduli mengenai kerja mahupun hasilnya apatah lagi kuasa yang ada padanya tidak
digunakan. Golongan seperti ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh
orang bawahannya dan berperanan sebagai pemerhati senyap. Namun begitu,
terdapat beberapa kebaikan jenis kepimpinan laissez-faire ini, antaranya ialah
orang bawahan tidak terlalu tertekan dimana kebebasan penuh diberikan kepada
pihak bawahan dengan penglibatan yang minimum oleh pemimpin. Tidak seperti
kepimpinan autokratik yang semuanya dibawah arahan pemimpin. Semua pandangan
guru diterima dan kepimpinan ini memudahkan keputusan yang relevan dilakukan
bagi menyelesaikan sesuatu tugasan mahupun masalah. Akhir sekali, jenis kepimpinan
Kontigensi yang merupakan kepimpinan yang bergantung kepada situasi. Tiada cara
khusus yang sama dalam semua keadaan untuk memimpin dan mentadbir organisasi
sekolah.
Akhir kalam,
setiap sekolah mempunyai jenis kepimpinan tersendiri berdasarkan gaya
kepimpinan Pengetua sekolah itu sendiri. Tanpa kepimpinan yang baik, sudah
tentu sesebuah organisasi akan mengalami kecelaruan yang mampu menjatuhkan
organisasi itu sendiri. Oleh itu pentingnya memilih cara kepimpinan yang baik
bagi menerajui sesebuah organisasi yang mampu mencapai misi dan visi tersendiri.
Kepimpinan dan Gaya Pengajaran.
Kepimpinan
pengajaran ialah tindakan yang dilakukan oleh seseorang pengetua mahupun
pihak-pihak yang telah diamanahkan untuk menggalakkan pembelajaran
pelajar-pelajar. Menurut Southworth (2002), pemimpin pengajaran adalah berkait
dengan pengajaran dan pembelajaran termasuk pembelajaran profesion perguruan
dan juga pembelajaran pelajar. Manakala, kepimpinan bilik darjah pula merupakan
satu kemahiran untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dengan orang
lain, mampu mengaitkan perkara yang berlaku hari-hari yang melibatkan interaksi
dua pihak. Antara pemimpin di bilik darjah ialah guru kelas atau guru subjek
dan murid-murid yang diberi kuasa untuk mengendalikan kelas semasa ketiadaan
guru seperti ketua dan penolong kelas.
Kepimpinan di
dalam bilik darjah wujud apabila murid-murid mengharapkan panduan dan teladan
dari seseorang guru, murid-murid mencapai sesuatu yang luar jangkaan mereka di
dalam bilik darjah dan juga setiap kali apabila terdapat pertumbuhan yang
positif dalam diri setiap pelajar. Ini merupakan bukti berlakunya kepimpinan di
sekolah-sekolah. Antara ciri-ciri guru yang berkepimpinan yang berkesan ialah
guru yang mampu membuang sifat mementingkan diri sendiri. Guru selalu ingin
menang, merasakan dirinya selalu benar, bersikap sombong dan bangga akan diri
sendiri serta tidak suka dan susah mendengar saranan dan kritikan orang lain
akan membuatkan pelajar mahupun sesama pentadbir sekolah berasa tidak disenangi
dan seterusnya akan membatasi ruang pergaulan antara mereka. Guru yang
berkepimpinan juga bijak dalam membuat keputusan serta mampu menjadi teladan
kepada murid-muridnya. Walhal, guru yang mempunyai ciri kepimpinan yang
berkesan juga ialah guru yang mampu membuat pertimbangan yang wajar untuk
mengelakkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan murid. Ciri ini sukar untuk
ditemui dalam diri guru-guru kerana ianya memerlukan kesabaran yang tinggi
kerana harus menghadapi pelbagai karenah murid. Jelaslah bahawa, peranan guru
yang baik adalah bermula dari sifat guru itu sendiri.
Seterusnya, bagi
gaya pengajaran ialah merupakan tindakan-tindakan yang guru lakukan semasa
mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam atau luar kelas.
Dalam kata lain, gaya pengajaran merupakan segala kegiatan yang dijalankan oleh
guru dalam rangka menyampaikan pengajaran yang berkesan kepada pelajar mereka.
Secara amnya, guru-guru seharusnya menjadi diri sendiri dalam mendidik pelajar.
Sebagai contohnya, jika seseorang guru itu mempunyai sifat lucu, jangan cuba
menahan sifat lucu tersebut di dalam kelas. Hal ini demikian kerana,
pelajar-pelajar lebih menyukai dan menghormati serta selesa dengan seseorang
guru yang memaparkan gaya keperibadian yang jujur dan selagi mana guru
mengambil berat tentang mereka terutamanya dalam pembelajaran. Mereka juga
tidak selesa dengan guru yang menunjuk-nunjuk dan berpura-pura dihadapan
mereka. Antara kaedah yang boleh diterapkan untuk mewujudkan gaya pengajaran
yang berkesan ialah cara penyampaian yang baik yang sentiasa dipelbagaikan agar
pelajar tidak merasa bosan dengan pengajaran yang disampaikan serta pada akhir
sesi pembelajaran, guru seharusnya mendapatkan maklum balas dari pelajar.
Terdapat tiga
jenis gaya pengajaran iaitu secara langsung, secara tak langsung dan pengajaran
berpusatkan bahan bantu mengajar. Pengajaran secara langsung di mana komunikasi
yang berlaku adalah sehala di mana guru mengamalkan pendekatan autoritarian,
pelajar tiada kuasa untuk berinteraksi dengan pelajar lain. Pelajar juga harus
menerima apa sahaja ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru tidak kira secara
arahan atau penerangan. Jenis pengajaran ini merupakan kaedah cara yang lama
dan pasif dan ianya agak membosanakn. Namun begitu, terdapat beberapa kaedah
yang boleh digunakan oleh guru-guru seperti kaedah syarahan, bercerita dan
pengajaran secara kelas. Bagi pengajaran secara tak langsung atau juga dikenali
dengan pengajaran berpusatkan pelajar, guru hanyalah sebagai pemerhati dan
fasilitator kerana ianya berfokuskan terhadap pelajar. Contohnya, kerja
berkumpulan yang mampu mewujudkan interaksi sesama pelajar dan saling bertukar
pendapat. Dan akhir sekali jenis pengajaran berpusatkan bahan bantu mengajar
yang berperanan membantu tugas guru di dalam kelas. Bahan yang digunakan
merupakan saluran untuk menyalurkan segala ilmu pengetahuan kepada
pelajar-pelajar, seperti komputer, kertas major, software dan lain-lain lagi.
Tegaslah bahawa jenis gaya pengajaran terbahagi kepada 3 iaitu secara langsung,
tak langsung dan bahan bantu mengajar.
Kesimpulannya,
kefahaman mengenai peranan kepimpinan pengajaran, kepimpinan di dalam bilik
darjah dan gaya pengajaran yang seharusnya diterapkan merupakan perkara yang
perlu difahami dengan baik oleh para guru. Dengan kefahaman yang mendalam akan
membantu guru agar sentiasa mengingati tanggungjawab mereka sebagai seorang
pendidik yang berkaliber.