animasi-bergerak-selamat-datang-0090
My Widget

Sunday, November 25, 2018

TOPIK 3 : BENTUK INTERAKSI DALAM PEMBELAJARAN


Interaksi merupakan satu jalinan hubungan antara guru dengan pelajar. Menurut A New English Dictionary, interaksi bilik darjah bermaksud saling bertindak serta saling mempengaruhi antara satu sama lain. Di bawah konsep pendidikan, interaksi dalam bilik darjah dapat didapati daripada dua sudut iaitu interaksi antara individu dan juga interaksi antara individu dengan alam sekitar.
Antara contoh interaksi antara individu iaitu interaksi antara guru dengan murid di dalam bilik darjah. Interaksi ini dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu percakapan guru, percakapan murid dan juga berlakunya kesenyapan dalam kelas tersebut manakala interaksi antara individu dengan alam sekitar pula iaitu satu proses bertindak balas antara guru, murid, objektif pelajaran, isi kandungan serta alam sekitarnya yang meliputi segala aspek budaya, sosioekonomi, organisasi, lokasi dan juga masa.
Seterusnya, jenis-jenis interaksi ini pula dapat dibahagikan kepada tiga iaitu interaksi sehala dari guru kepada murid, interaksi dua hala iaitu antara murid dengan murid, serta interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan juga murid dengan murid. Antara ciri interaksi sehala dari guru kepada murid iaitu aktiviti pembelajarannya bercorak positif. Corak interaksinya hanya tertumpu kepada guru sahaja dan tiada interaksi antara murid dengan murid. Interaksi ini menggunakan pendekatan yang hanya memusatkan kepada guru sahaja seperti kaedah kelas, aktiviti pemulihan dan juga kaedah demontrasi.
Bagi interaksi dua hala iaitu antara guru dengan murid, ciri-ciri interaksi tersebut iaitu aktiviti pengajaran dan pembelajaran bercorak aktif, perhubungan guru dengan murid dapat dirapatkan serta penglibatan murid dalam sesuatu aktiviti amatlah digalakkan. Interaksi ini pula menggunakan pendekatan secara perbincangan, kaedah menyoal dan juga kaedah sokratik. Bagi interaksi dua hala iaitu antara murid dengan murid pula, ciri-ciri interaksi ini berbentuk aktiviti pembelajaran bercorak aktif, hubungan murid dengan murid dapat dirapatkan serta semangat kerjasama, toleransi serta tolong menolong dalam kalangan murid dapat dipupuk. Ianya menggunakan kaedah pendekatan secara berkumpulan seperti pengajaran melalui aktiviti lakonan, kaedah bermain, sumbangsaran dan lain-lain lagi. Selain itu, ciri-ciri bagi interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid iaitu aktiviti pengajaran dan pembelajarannya bercorak aktif, hubungan antara guru dengan murid dan murid dengan murid dapat dirapatkan serta peranan murid dapat digunakan secara optimum. Bagi pendekatan dan strategi pengajaran pula ianya berbentuk simulasi, pendekatan kumpulan, kaedah perbincangan, aktiviti pemulihan dan sebagainya.
Kesimpulannya, kepentingan interaksi dalam pembelajaran ialah dapat mengeratkan perhubungan guru dengan murid-murid dalam bilik darjah terutamanya. Perhubungan guru dan murid-murid yang mesra ini adalah syarat yang sangat penting bagi guru menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Selain itu, interaksi dalam pembelajaran penting kerana ianya merupakan proses utama bagi guru menyampaikan ilmu kepada murid-muridnya. Hal ini demikian kerana, tanpa adanya interaksi, para pelajar dan guru tidak boleh berkomunikasi dengan baik sesama mereka. Akhir sekali ialah interaksi ini merupakan pemangkin untuk meningkatkan prestasi pelajar, guru dan sekolah di sesebuah sekolah itu.

No comments:

Post a Comment