animasi-bergerak-selamat-datang-0090
My Widget

Sunday, November 25, 2018

TAJUK 4 : ORGANISASI DAN KEPIMPINAN


Pemimpin yang baik diperlukan dalam sesuatu organisasi bagi mewujudkan organisasi yang baik serta mempunyai orientasi visi dan misi yang kehadapan. Pimpinan dalam organisasi adalah jabatan atau posisi seseorang dalam sebuah organisasi dan tugasannya adalah untuk mengatur segala sesuatu mengenai kebijakan dan keputusan dalam mengurus organisasi tersebut. Tugas pemimpin dalam sesebuah organisasi ialah bertanggungjawab atas semua kerja organisasi yang dijalankan manakala gaya kepimpinan akan mempengaruhi pencapaian hasil dari organisasi dalam dunia pendidikan. Menurut George R. Terry, kepimpinan adalah kegiatan mempengaruhi orang-orang, agar mereka suka berusaha mencapai tujuan-tujuan kelompok. Seterusnya, organisasi pula merupakan struktur atau susunan iaitu penyusunan dan penempatan orang-orang dalam suatu kelompok kerjasama, yang bermaksud menempatkan orang dengan kewajiban, hak-hak dan tanggungjawab masing-masing. Tugas dan tanggungjawab tersebut tersusun rapi pola kegiatannya agar menuju ke arah tercapainya tujuan bersama yang telah disepakati.
Carta organisasi sekolah bermula daripada Pengetua yang diikuti dengan Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Kaunselor dan Penolong Kanan Kokurikulum. Penolong Kanan Pentadbiran terbahagi kepada dua bahagian kerja iaitu bahagian pentadbiran dan bahagian kurikulum. Bahagian kurikulum pula terbahagi kepada dua iaitu Guru Kanan Matapelajaran yang diketuai oleh Ketua Panitia bagi setiap matapelajaran dan pusat sumber. Seterusnya bagi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid harus mengendalikan empat kerja iaitu dari segi disiplin, pendaftaran pelajar, kantin dan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).  Kaunselor pula merupakan satu badan yang agak penting bagi membentuk dan membantu dalam membaiki dari segi sahsiah pelajar, tugasnya adalah bimbingan dan kerjaya.  Akhir sekali, Penolong Kanan Kokurikulum yang ditugaskan untuk mengendalikan dua bahagian iaitu bahagian sukan dan bahagian kelab. Sukan terbahagi kepada dua iaitu rumah sukan dan olahraga ataupun dikenali sebagai permainan. Bahagian kelab juga mempunyai dua bahagian iaitu persatuan dan unit beruniform.
Peranan setiap Pengetua sekolah adalah memimpin organisasi ke arah pencapaian visi dan misi sekolah. Mempunyai wawasan yang mengujakan dan jelas serta berupaya mengembleng warga sekolah perlu ada dalam ciri-ciri setiap pengetua sekolah. Golongan ini perlu mentadbir dan mengurus sekolah serta tugas lain yang perlu dikendalikan dilaksanakan dengan berkesan dan cekap, misalnya perkara-perkara yang telah ditentukan oleh pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan (KPM). Seseorang pengetua bertanggungjawab dalam meningkatkan Kurikulum dan Kokurikulum serta memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar KPM. Malah seorang Pengetua juga bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan, pentadbiran dan kewangan sekolah serta mewujudkan hubungan dua hala dengan komuniti dan agensi-agensi luar. Dalam kata lain, seorang Pengetua harus memainkan peranan dari setiap sudut dan dianggap ‘kepala’ yang penting dalam organisasi sekolah ini. Jelaslah bahawa peranan Pengetua sebagai pemimpin dalam organisasi sekolah ini adalah amat penting bagi mewujudkan sekolah yang berwawasan dan mempunyai hala tuju yang jelas.
Seterusnya, bidang tugas Penolong Kanan pula ialah menjalankan tugas pengetua semasa ketiadaannya. Sebagai contoh, setelah bersaranya seorang Pengetua, setiap Penolong Kanan perlu mengambil alih buat seketika sementara menunggu Pengetua baru datang ke sekolah tersebut. Tugas ini bertujuan agar sekolah tersebut dapat dikawal jika berlaku sebarang masalah semasa ketiadaan Pengetua. Penolong Kanan bertanggungjawab kepada Pengetua dalam hal kurikulum, pentadbiran, hubungan masyarakat dan keselamatan. Malah golongan ini juga bertangggungjawab dalam membantu Pengetua dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah serta menyelia dan menilai proses pengajaran. Manakala bagi tugas Kaunselor pula adalah menolong pelajar untuk memahami dirinya dalam hubungannya dengan dunia sosial dan psikologi di tempat pelajar berada, contohnya memahami sikap, mencungkil minat, bakat dan kebolehan masing-masing dan juga membantu dalam penyempurnaan kendiri. Jelaslah bahawa peranan Penolong Kanan dan Kaunselor mempunyai kepentingan tersendiri bagi menyempurnakan sesebuah organisasi dan mencapai matlamat setiap sekolah.
Antara struktur Jawatankuasa Panitia Mata Pelajaran ialah Pengerusi iaitu Guru Kanan Mata Pelajaran diikuti dengan Naib Pengerusi iaitu Ketua Panitia, seterusnya, setiausaha dan ahli yang terdiri dari semua guru mata pelajaran. Guru Kanan Mata Pelajaran, Pengerusi, merupakan ketua bidang mata pelajaran dan lantikannya adalah oleh Jabatan  Pelajaran Negeri kerana ia melibatkan elaun khas Guru Kanan. Peranan golongan ini adalah untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, merupakan penyelaras panitia bidang mata pelajarannya, mentadbir dan mengurus kurikulum bidang mata pelajarannya, pengurus stor dan inventori bidang mata pelajarannya dan juga memastikan kemajuan staf akademik dan bukan akademik dalam bidang mata pelajarannya. Antara agihan mata pelajaran mengikut bidang terdiri daripada empat bidang iaitu Bahasa, Sains dan Matematik, Teknik dan Vokasional dan akhir sekali bidang Kemanusiaan. Bidang Bahasa terdiri daripada bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina, Tamil dan lain-lain. Sains dan Matematik pula Sains teras, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik, Matematik Tambahan dan sebagianya. Manakala Teknik dan Vokasional, Kemahiran Hidup Bersepadu, Ekonomi Rumah Tangga, Perdagangan, Prinsip Akaun dan lain-lain. Akhir sekali bidang Kemanusiaan Sivik, Geografi, Kesusasteraan dan sebagainya.
Natijahnya, kepimpinan merupakan sesuatu yang amat penting dalam sebuah organisasi kerana kepimpinan dapat menjadi pemancu prestasi dalam organisasi tersebut. Setiap peranan yang diberikan kepada guru-guru merupakan sesuatu yang mencabar namun itulah komitmen yang diperlukan oleh setiap organisasi bagi mencapai visi dan misi tersendiri melalui kesepakatan bersama. Tanpa kepimpinan yang baik, sudah pasti generasi yang akan datang tidak dapat dibentuk dengan baik.

Kepimpinan Peringkat Sekolah.
Di sekolah, kepimpinan adalah satu aspek tingkahlaku dan juga sejenis pengaruh. Seseorang Pengetua yang memegang teraju di peringkat sekolah memerlukan pengatahuan dan pengalaman yang banyak dan tinggi mengenai pendidikan. Sebagai contoh pengetahuan dalam bidang akademik, latar belakang murid dan masyarakat, pengurusan pejabat, konsep kepimpinan, masalah politik, dan masalah tingkah laku pelajar dan kakitangan. Oleh itu, pentingnya cara kepimpinan Pengetua yang produktif dan baik dalam mengendalikan sesebuah organisasi yang besar seperti sekolah ini. Kepimpinan peringkat sekolah terbahagi kepada empat, iaitu autokratik, demokratik, laissez-faire dan kontigensi.
Autokratik merupakan hubungan sehala iaitu pemimpin dan dipimpin. Antara cirinya ialah arahan dari Pengetua dan guru-guru mengikuti arahan beliau tanpa soal. Pancangan Pengetua perlu dilaksanakan dan Pengetua yang mengamalkan autokratik ini menjalankan kawalan yang ketat dan kurang mempercayai orang lain. Dengan cara ini akan menyukarkan penambahbaikan dilakukan kerana hanya ideanya sehaja yang diguna pakai dan tidak menerima pandangan guru-guru lain kerana jenis kepimpinan autokratik ini tidak menggalakkan percambahan minda. Sekolah jenis autokratik ini memperlihatkan satu bentuk kuasa yang mutlak dan pembuatan keputusan adalah terpusat. Setiap keputusan yang dikeluarkan guru-guru terpaksa menerimanya kerana ia bersifat diktator.
Seterusnya, demokratik merupakan jenis kepimpinan yang lebih liberal. Di mana Pengetua akan berbincang terlebih dahulu dengan para guru, melalui cara ini Pengetua akan menerima dan memberi pandangan beliau terhadap perkara yang dibincangkan. Dan keputusannya adalah atas dasar persetujuan majoriti. Kepimpinan demokratik ini amatlah digalakkan diguna pakai oleh setiap organisasi kerana ianya menggalakkan percambahan minda serta dapat menerima pandangan dari guru-guru lain. Cara ini mampu memulihkan sesuatu masalah dengan baik kerana setiap guru mempunyai idea dan cadangan masing-masing. Melalui perkongsian idea ni, Pengetua mampu memilih cara yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi. Pandangan guru yang diberikan diambil perhatian oleh pihak pengurusan sekolah. Jelaslah, jenis kepimpinan demokratik ini merupakan cara kepimpinan yang terbaik untuk diterapkan di dalam sesebuah organisasi dan Pengetua merupakan individu yang seharusnya memainkan peranan kepimpinan ini.
Laissez-faire merupakan jenis kepimpinan yang bertentangan dengan autokratik. Kepimpinan ini memberi kebebasan, kurang unsur-unsur kawalan dan kurang memberi pandangan. Malah, golongan ini juga kurang mengambil bahagian dalam pelaksanaan aktiviti. Pengetua yang mengamalkan kepimpinan laissez-faire ini, menunjukkan bahawa beliau hanya akan memberi komen terhadap aktiviti yang dilakukan oleh orang bawahan tanpa menilai dan menyusun atur. Dan kebiasaannya, golongan ini tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya apatah lagi kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Golongan seperti ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya dan berperanan sebagai pemerhati senyap. Namun begitu, terdapat beberapa kebaikan jenis kepimpinan laissez-faire ini, antaranya ialah orang bawahan tidak terlalu tertekan dimana kebebasan penuh diberikan kepada pihak bawahan dengan penglibatan yang minimum oleh pemimpin. Tidak seperti kepimpinan autokratik yang semuanya dibawah arahan pemimpin. Semua pandangan guru diterima dan kepimpinan ini memudahkan keputusan yang relevan dilakukan bagi menyelesaikan sesuatu tugasan mahupun masalah. Akhir sekali, jenis kepimpinan Kontigensi yang merupakan kepimpinan yang bergantung kepada situasi. Tiada cara khusus yang sama dalam semua keadaan untuk memimpin dan mentadbir organisasi sekolah.
Akhir kalam, setiap sekolah mempunyai jenis kepimpinan tersendiri berdasarkan gaya kepimpinan Pengetua sekolah itu sendiri. Tanpa kepimpinan yang baik, sudah tentu sesebuah organisasi akan mengalami kecelaruan yang mampu menjatuhkan organisasi itu sendiri. Oleh itu pentingnya memilih cara kepimpinan yang baik bagi menerajui sesebuah organisasi yang mampu mencapai misi dan visi tersendiri.

Kepimpinan dan Gaya Pengajaran.
Kepimpinan pengajaran ialah tindakan yang dilakukan oleh seseorang pengetua mahupun pihak-pihak yang telah diamanahkan untuk menggalakkan pembelajaran pelajar-pelajar. Menurut Southworth (2002), pemimpin pengajaran adalah berkait dengan pengajaran dan pembelajaran termasuk pembelajaran profesion perguruan dan juga pembelajaran pelajar. Manakala, kepimpinan bilik darjah pula merupakan satu kemahiran untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dengan orang lain, mampu mengaitkan perkara yang berlaku hari-hari yang melibatkan interaksi dua pihak. Antara pemimpin di bilik darjah ialah guru kelas atau guru subjek dan murid-murid yang diberi kuasa untuk mengendalikan kelas semasa ketiadaan guru seperti ketua dan penolong kelas.
Kepimpinan di dalam bilik darjah wujud apabila murid-murid mengharapkan panduan dan teladan dari seseorang guru, murid-murid mencapai sesuatu yang luar jangkaan mereka di dalam bilik darjah dan juga setiap kali apabila terdapat pertumbuhan yang positif dalam diri setiap pelajar. Ini merupakan bukti berlakunya kepimpinan di sekolah-sekolah. Antara ciri-ciri guru yang berkepimpinan yang berkesan ialah guru yang mampu membuang sifat mementingkan diri sendiri. Guru selalu ingin menang, merasakan dirinya selalu benar, bersikap sombong dan bangga akan diri sendiri serta tidak suka dan susah mendengar saranan dan kritikan orang lain akan membuatkan pelajar mahupun sesama pentadbir sekolah berasa tidak disenangi dan seterusnya akan membatasi ruang pergaulan antara mereka. Guru yang berkepimpinan juga bijak dalam membuat keputusan serta mampu menjadi teladan kepada murid-muridnya. Walhal, guru yang mempunyai ciri kepimpinan yang berkesan juga ialah guru yang mampu membuat pertimbangan yang wajar untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan murid. Ciri ini sukar untuk ditemui dalam diri guru-guru kerana ianya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana harus menghadapi pelbagai karenah murid. Jelaslah bahawa, peranan guru yang baik adalah bermula dari sifat guru itu sendiri.
Seterusnya, bagi gaya pengajaran ialah merupakan tindakan-tindakan yang guru lakukan semasa mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam atau luar kelas. Dalam kata lain, gaya pengajaran merupakan segala kegiatan yang dijalankan oleh guru dalam rangka menyampaikan pengajaran yang berkesan kepada pelajar mereka. Secara amnya, guru-guru seharusnya menjadi diri sendiri dalam mendidik pelajar. Sebagai contohnya, jika seseorang guru itu mempunyai sifat lucu, jangan cuba menahan sifat lucu tersebut di dalam kelas. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar lebih menyukai dan menghormati serta selesa dengan seseorang guru yang memaparkan gaya keperibadian yang jujur dan selagi mana guru mengambil berat tentang mereka terutamanya dalam pembelajaran. Mereka juga tidak selesa dengan guru yang menunjuk-nunjuk dan berpura-pura dihadapan mereka. Antara kaedah yang boleh diterapkan untuk mewujudkan gaya pengajaran yang berkesan ialah cara penyampaian yang baik yang sentiasa dipelbagaikan agar pelajar tidak merasa bosan dengan pengajaran yang disampaikan serta pada akhir sesi pembelajaran, guru seharusnya mendapatkan maklum balas dari pelajar.
Terdapat tiga jenis gaya pengajaran iaitu secara langsung, secara tak langsung dan pengajaran berpusatkan bahan bantu mengajar. Pengajaran secara langsung di mana komunikasi yang berlaku adalah sehala di mana guru mengamalkan pendekatan autoritarian, pelajar tiada kuasa untuk berinteraksi dengan pelajar lain. Pelajar juga harus menerima apa sahaja ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru tidak kira secara arahan atau penerangan. Jenis pengajaran ini merupakan kaedah cara yang lama dan pasif dan ianya agak membosanakn. Namun begitu, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh guru-guru seperti kaedah syarahan, bercerita dan pengajaran secara kelas. Bagi pengajaran secara tak langsung atau juga dikenali dengan pengajaran berpusatkan pelajar, guru hanyalah sebagai pemerhati dan fasilitator kerana ianya berfokuskan terhadap pelajar. Contohnya, kerja berkumpulan yang mampu mewujudkan interaksi sesama pelajar dan saling bertukar pendapat. Dan akhir sekali jenis pengajaran berpusatkan bahan bantu mengajar yang berperanan membantu tugas guru di dalam kelas. Bahan yang digunakan merupakan saluran untuk menyalurkan segala ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar, seperti komputer, kertas major, software dan lain-lain lagi. Tegaslah bahawa jenis gaya pengajaran terbahagi kepada 3 iaitu secara langsung, tak langsung dan bahan bantu mengajar.
Kesimpulannya, kefahaman mengenai peranan kepimpinan pengajaran, kepimpinan di dalam bilik darjah dan gaya pengajaran yang seharusnya diterapkan merupakan perkara yang perlu difahami dengan baik oleh para guru. Dengan kefahaman yang mendalam akan membantu guru agar sentiasa mengingati tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik yang berkaliber.

No comments:

Post a Comment