animasi-bergerak-selamat-datang-0090
My Widget

Sunday, November 25, 2018

TAJUK 5 : PENGURUSAN MURID


                               
Sistem pembelajaran terunggul dapat dilahirkan melalui pelbagai aspek yang dikaji dengan teliti agar matlamat yang diigini tercapai dan antaranya ialah pengurusan murid. Pengurusan merupakan satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengawalan dan pengarahan. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Ini kerana, pengurusan murid di sekolah adalah cermin prestasi sekolah itu sendiri. Suppiah Nachiappan et. All(2009), menyatakan bahawa selain berhadapan dengan remaja yang mempunyai masalah dan mengalami kecacatan, guru juga berhadapan dengan pelajar yang mempunyai keistimewaan luar biasa dalam kategori pintar, cergas dan pelbagai upaya. Golongan ini sering tidak dipedulikan kerana guru beranggapan mereka sudah dapat menguasai isi pelajaran dengan cepat berbanding dengan yang lain. Pengurusan murid terbahagi kepada 3 komponen penting, iaitu mengurus rekod pelajar, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid.
Tujuan mengurus rekod murid adalah untuk memantapkan sistem pengurusan murid di sekolah. Profil murid juga dikemaskinikan agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa kehidupan murid tersebut, contohnya seorang murid yang bertukar rumah dan pihak sekolah tidak mengetahuinya, ini akan menyulitkan pengurusan pihak sekolah jika ingin menghantar surat atau mengunjungi ke rumah pelajar tersebut atas urusan kebajikan. Rekod murid juga bertujuan untuk mengetahui perkembangan akademik, emosi, sahsiah dan tingkah laku pelajar selain bagi menyediakan maklumat lengkap mengenai kemajuan pelajar dalam segala aspek perkembangan potensi (JERI). Paling utama ialah rekod murid sebagai panduan kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri, di mana ibu bapa dapat mengetahui kemajuan dan kebolehan anak mereka manakala murid pula dapat mengatahui potensi masing-masing. Antara jenis-jenis rekod murid ialah rekod pendaftaran, rekod kutipan yuran, jadual kedatangan, rekod prestasi, rekod profil, buku kemajuan murid dan kad himpunan 001 & 002.
Seterusnya kesediaan murid. Kesediaan murid membawa maksud keadaan seseorang individu yang bersedia dan berupaya mempelajari sesuatu perkara yang bertujuan untuk memperoleh pengalaman dan pembelajaran yang baru. Jenis kesediaan pelajar terbahagi kepada 3 iaitu afektif, kognitif dan psikomotor. Kesediaan kognitif berkait rapat dengan mental untuk memahami dan berfikir di mana perkembangan mental bergantung kepada umur seseorang. Manakala afektif merujuk kepada sikap, keinginan, minat dan ketekunan seseorang individu untuk menerima pelajaran yang disampaikan oleh guru mereka. Pelajar yang mempunyai kesediaan afektif ialah pelajar yang bersifat positif dan minat terhadap pelajaran yang akan memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam sebarang aktiviti. Penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal termasuk perkembangan fizikal iaitu fungsi anggota dan pengawalan penyelarasan penggerak di dalam seluruh badan pula merupakan kesediaan psikomotor. Antara faktor yang mempengaruhi kesediaan pelajar ialah kematangan dan pengalaman. Kematangan fizikal, sosial, mental, emosi, motivasi dalaman dan kemahiran asas dalaman merupakan diantara kategori bagi faktor kematangan seseorang individu. Kesediaan pelajar turut mempunyai masalah perbezaan yang diantaranya ialah perbezaan perkembangan mental, sikap dan minat, kadar pertumbuhan fizikal, keyakinan diri, jantina dan perbezaan dalam diri sendiri. Perkembangan mental yang wujud secara semulajadi ini sedikit sebanyak memberi masalah kepada guru dalam melayani mereka. Murid yang meminati sesuatu subjek atau sesuatu perkara akan mencapai prestasi yang baik dan cemerlang manakala guru akan menghadapi masalah dalam memilih bahan, isi kandungan dan alat bantu mengajar. Bagi kadar pertumbuhan fizikal pula wujud kerana setiap individu mempunyai corak pertumbuhan unik masing-masing. Sebagai contohnya, kanak-kanak dalam umur yang sama tidak akan mempunyai kebolehan yang sama dan ini akan membuatkan guru mereka susah untuk merancang pelajaran yang dapat memberi kepuasan kepada murid. Murid-murid yang datang dari pelbagai latar belakang turut menjadi kekangan kepada kesediaan belajar, contohnya pelajar yang ekonomi keluarganya tidak stabil akan  mengalami gangguan dalam menuntut ilmu. Pelbagai status ekonomi yang pelbagai akan membina keyakinan diri yang berbeza. Seterusnya, pelajar lelaki dan perempuan memiliki perkembangan biologi dan fizikal yang berbeza. Pertumbuhan pada peringkat remaja bagi perempuan adalah berkembang lebih pesat dan mencapai kedewasaan berbanding lelaki. Dan masalah kesediaan pelajar berpunca daripada pengaruh nilai kebudayaan terhadap jantina dan sebagai seorang guru harus menyedari perbezaan jantina tersebut ketika membuat rancangan pembelajaran. Akhir sekali, bagi perbezaan dalam diri individu pula menunjukkan kebolehan yang berbeza-beza dalam bidang tertentu.
Motivasi bermaksud tingkah laku untuk mencapai keinginan dalam diri setiap pelajar yang dapat bantuan daripada guru yang menyebabkan murid sentiasa ingin berusaha. Motivasi ini juga merupakan sesuatu yang diberi sehingga mampu menaikkan semangat respond untuk mencapai tujuan utama mereka. Terdapat dua hubungan motivasi murid dan pembelajaran iaitu murid motivasi rendah dan murid motivasi tinggi. Antara contoh murid motivasi rendah ialah tidak peduli akan pencapaian sendiri serta pasif dan malas dalam pembelajaran. Bagi murid motivasi tinggi pula merupakan individu yang sentiasa membuat semakan akan prestasi sendiri dan juga kritis dan kreatif dalam pembelajaran. Terdapat dua teknik motivasi iaitu teknik intrinsik dan ekstrinsik. Teknik intrinsik merupakan hasil dorongan dalaman dan minat seseorang untuk melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan ganjaran dan ianya merupakan sifat semulajadi seseorang dengan unsur yang sedia ada dalam proses pembelajaran dan boleh terbentuk juga dari pengalaman. Teknik ekstrinsik pula sebaliknya, di mana dipengaruhi oleh rangsangan luar iaitu sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepada dirinya. Para guru boleh meningkatkan motivasi kepada pelajar melalui menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang mampu memberangsang pelajar untuk menjadi lebih baik. Sebagai contoh persekitaran yang baik ialah menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif untuk pelajarnya, menentukan sasaran dan taraf pencapaian akademik yang perlu dicapai dan memastikan penglibatan pelajar dalam semua aktiviti pembelajaran di dalam atau di luar kelas. Seterusnya, pembelajaran koperatif dan kolaboratif di mana mewujudkan suasana tolong-menolong antara pelajar dan sentiasa mengingati dan mendorong pelajar yang lemah dalam usaha meningkatkan pencapaian kerja mereka. Peneguhan positif dan negatif juga merupakan salah satu cara yang boleh diambil oleh para guru dalam memotivasikan pelajar. Peneguhan positif ialah memberi pujian atau menganugerahkan pelajar dengan satu gelaran yang baik bagi mendorong pelajar untuk mencapai matlamat dan juga hasil pembelajaran yang ingin dicapai. Manakala peneguhan negatif ialah mengasingkan tempat duduk pelajar yang mempunyai tingkah laku yang kurang baik dari pelajar yang baik agar ianya mampu mengelakkan terganggunya suasana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, bagi implikasi motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran pula ialah guru harus percayai akan pelajar mereka mampu meningkatkan pencapaian masing-masing, di sini menunjukkan bahawa guru seharusnya tidak mengabaikan pelajar yang lemah, sebaliknya harus memberi mereka semangat untuk terus berusaha. Guru juga harus memastikan penglibatan pelajar dalam sebarang aktiviti akademik seperti aktiviti unit beruniform. Ciri-ciri komunikasi yang positif juga harus diterapkan di dalam kelas sebagai contoh memberi senyuman mahupun anggukkan kepala ketika berinteraksi dengan pelajar.
Kesimpulannya, dalam sesebuah organisasi memerlukan pengurusan murid yang baik seperti rekod murid yang tersusun dan lengkap, mengetahui tahap kesediaan murid dan akhir sekali motivasi. Ketiga-tiga pengurusan murid ini mempunyai kepentingan tersendiri sebagai contoh motivasi yang merupakan satu sesi atau proses yang amat diperlukan dalam mendidik pelajar. Tanpa motivasi sudah tentu pelajar sukar dikawal, contohnya pelajar yang kurang pandai akan berasa semakin tidak bersemangat kerana tiadanya semangat serta dorongan dari para tenaga pengajar.(https://www.youtube.com/watch?v=gFpKtXlbymQ)


No comments:

Post a Comment