animasi-bergerak-selamat-datang-0090
My Widget

Sunday, November 25, 2018

TAJUK 2 : PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN

Harold Koontz (1972) mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui dan bersama orang lain di dalam suatu kumpulan yang sengaja diadakan. Mary Parker Follet (1995) seorang pelopor pengurusan klasik mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui sumbangan orang lain. Menurut perspektif islam, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah melalui dan bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dan menggunakan sumber-sumber organisasi dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai al-falah di dunia dan di akhirat. Manakala pembelajaran pula merujuk kepada perubahan dalam tingkahlaku subjek atau tingkah laku berpotensi dalam suatu situasi yang diwujudkan oleh pengalaman-pengalaman berulang subjek dalam situasi tersebut. Bower dan Hilgard (1981) sebenarnya, pembelajaran merupakan perubahan tingkahlaku secara kekal. Pembelajaran mesti diterjemahkan kepada tingkahlaku yang boleh diperlihatkan. Definisi pengurusan pembelajaran pula ialah proses merancang pengajaran dan pembelajaran agar mencapai matlamat, menetukan atau memberi garis panduan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh guru, menetukan mata pelajaran yang diajar guru mengikut kepakaran, memimpin dan memberi inspirasi kepada guru dan mengawal aktiviti serta memantau pelaksanaan agar ianya berjalan sebagaimana yang dirancang (Nurlia Mohamad, komunikasi peribadi,26 Disember 2012).
Antara kepentingan pengurusan pembelajaran ialah berperanan dalam meningkatkan prestasi pelajar. Selain itu juga adalah berfungsi dalam penyampaian ilmu iaitu berpandukan sukatan pelajaran. Dengan menggunakan panduan sukatan pelajaran ia dapat memudahkan urusan guru-guru agar dapat merancang dan mengajar murid-murid dengan lebih bijak dan teratur. Seterusnya ialah dapat mencapai objektif dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, apabila perancangan yang dijalankan menggunakan kaedah seperti yang dirancang maka matlamat dan objektif yang ingin dicapai akan membuahkan hasil yang baik dalam pengajaran dan juga pembelajaran. Kepentingan yang terakhir ialah dapat meningkatkan pengawalan kelas yang berkesan.
Selain itu, isi yang kedua ialah konsep mengurus pembelajaran. Antaranya ialah peranan guru sebagai pengurus bilik darjah adalah merancang, mengelola,mengawal dan juga mengarah. Dengan merancang, guru perlu merancang objektif pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran, pengetahuan sedia ada murid. Guru juga merancang untuk pemeringkatan isi pelajaran. Selain itu, merancang strategi dan kaedah pengajaran dan juga merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Selain itu juga, merancang aktiviti kumpulan. Seterusnya, merancang kemudahan dan susunan fizikal bilik darjah. Akhir sekali ialah,merancang aktiviti penilaian. Manakala peranan guru dalam mengelola pula ialah mengurus bilik darjah, mengurus aktiviti murid, mengurus bahan-bahan pelajaran, mengurus disiplin bilik darjah, mengurus aktiviti kumpulan, mengurus kaedah fizikal dan kemudahan dan juga mengurus aktiviti penilaian. Dari segi mengawal pula ialah mengawal peraturan-peraturan bilik darjah, mengawal aktiviti kumpulan, mengawal murid bermasalah peribadi, memastikan masalah disiplin tidak timbul dan juga memastikan pengajaran dan pembelajaran boleh dijalankan tanpa gangguan. Akhir sekali peranan guru sebagai pengurus bilik darjah dalam mengarah ialah mengarah murid menjawab soalan guru, mengarah murid mendengar, mengira dan menulis, mengarah murid-murid membentuk kumpulan masing-masing, mengarah murid menguruskan tugas harian bilik darjah, mengarah murid menjalankan aktiviti pembelajaran dan juga mengarah murid mematuhi disiplin bilik darjah dan sebagainya.
            Isi yang terakhir ialah membuat persediaan rancangan kerja. Iaitu membuat perancangan sebelum mengajar, atau dengan kata mudahnya ialah membuat Rancangan Pembelajaran Harian (RPH). Perancangan perlu mempunyai objektif, teknik dan juga kaedah. Perancangan juga perlu membuat penyediaan buku rekod dan jadual. Manakala persediaan rancangan kerja yang seterusnya ialah Pengurusan Sumber Pengajaran dan juga Pembelajaran. Dengan itu guru-guru perlu membuat penyediaan bahan-bahan pelajaran yang akan digunakan dalam proses P&P. Guru-guru juga haruslah membuat penyediaan alat bantu mengajar yang bersesuian contohnya buku teks, buku rujukan dan juga alat bantu mengajar yang lain yang bersesuaian dengan pembelajaran.
            Secara rumusnya pengurusan dan pembelajaran pelajar merupakan satu kaedah atau uslub yang sangat efektif dan bijak dalam menjalankan suatu aktiviti pembelajaran. Dengan menggunakan kaedah ini dan memahami konsep ini dengan baik maka guru-guru akan dapat mencapai matlamat dan juga objektif pembelajaran yang akan disampaikan kepada anak-anak murid mereka. Kesimpulannya, pengurusan dalam pengajaran merupakan satu perkara yang sangat penting untuk diaplikasikan dalam setiap sesi pengajaran oleh semua yang bergelar pendidik. Hal ini demikian kerana, adanya kejayaan daripada setiap murid pasti adanya seorang guru yang membimbing mereka dan adanya pembimbing itu mesti adanya strategi yang dilakukan dan diikuti bagi mencapai sesuatu perkara tersebut. Oleh itu, pengurusan dan pengajaran ini amatlah berkait rapat sesama sendiri untuk melahirkan suasana pembelajaran yang kondusif seterusnya melahirkan generasi muda yang cemerlang dan gemilang.

No comments:

Post a Comment