animasi-bergerak-selamat-datang-0090
My Widget

Tuesday, November 27, 2018

TAJUK 6 : PENGURUSAN BILIK DARJAH

Pengurusan bilik darjah merupakan proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Bilik darjah merupakan persekitaran pembelajaran yang merangkumi aspek murid, guru, ruang dan alat pembelajaran. Terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam pengurusan bilik darjah; aktiviti pengajaran berkumpulan dan pengajaran individu, pusat pembelajaran, penyediaan bahan dan pengurusan sumber.

ISI-ISI PENTING
Aktiviti pengajaran berkumpulan merupakan kaedah pembelajaran di mana pelajar menjalankan aktiviti dalam kumpulan. Murid dibahagi kepada 4-5 orang dalam satu kumpulan mengikut kebolehan, pelbagai kebolehan dan minat. Kaedah ini membolehkan pelajar mengamalkan sikap tolong-menolong dan semangat kerjasama dalam kumpulan. Manakala, pengajaran individu memberi peluang kepada setiap pelajar yang memiliki perbezaan dari segi kecerdasan dan bakat. Guru perlu mengenalpasti kemahiran dan kelemahan murid untuk memberikan langkah yang sesuai bagi meningkatkan kecerdasan dan kemahiran murid.
Pusat pembelajaran merupakan bilik darjah yang dilengkapi pelbagai sumber mengikut kreativiti guru dan murid. Ia berfungsi untuk menyediakan ruang yang selesa dan bahan yang lengkap untuk pembelajaran murid, mempamerkan hasil kerja murid dan tempat guru memberi pengajaran yang berkesan. Terdapat beberapa cara untuk memastikan pusat pembelajaran selesa dan efektif dengan peranan guru dan murid; menyusun kedudukan kerusi dan meja agar ada ruang untuk murid bergerak, mengenalpasti bahan-bahan sumber yang diperlukan dan melengkapi pusat pembelajaran dengan pelbagai sumber dan bahan.
Bahan pengajaran adalah apa sahaja bahan yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang juga dikenali sebagai media pendidikan. Bahan pengajaran penting sebagai rangsangan untuk mewujudkan pembelajaran berkesan dengan memudahkan pemahaman murid. Jenis bahan terbahagi kepada dua iaitu bahan hidup (manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan) dan bahan bukan hidup (elektronik, bahan bercetak dan bahan-bahan dimensi). Pemilihan bahan perlu diteliti mengikut kesesuaian objektif pengajaran dan pembelajaran.
Pengurusan sumber pula merupakan satu proses memilih, menyusun, mengguna dan menyimpan bahan serta alat supaya proses pengajaran dan pembelajaran sempurna. Tujuan pengurusan sumber adalah untuk mewujudkan suasana dan persekitaran pendidikan yang baik, menarik minat murid belajar, memudakhkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menjamin perkembangan pembelajaran murid. Rumusanya pengurusan bilik darjah yang sistematik dan efektif sangat membantu dalam perkembangan pembelajaran pelajar. Elemen-elemen penting untuk memastikan pengurusan bilik darjah yang baik merangkumi aktiviti pengajaran berkumpulan dan individu, pusat pembelajaran, penyediaan bahan pengajaran dan pengurusan sumber. Oleh itu, guru dan murid memainkan peranan dalam pengurusan bilik darjah agar suasana selesa dan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan tanpa sebarang gangguan. Ia juga penting untuk mencapai objektif Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mana untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

No comments:

Post a Comment